Sejak akhir-akhir ini, skim cepat kaya (SCK) makin berkembang seperti cendawan lepas hujan di negara kita.

Di sini kami olah semula satu tulisan menarik yang kami jumpa di Whatsapp group…

Bagaimana Kita Mudah Tertipu Dengan Skim Cepat Kaya

Ilmu ini perlu kita tahu agar kita tak tertipu untuk kedua kalinya. Jangan biarkan orang tersayang terjebak dengan penipuan skim cepat kaya. Jika kita mengetahui asas terciptanya skim piramid, kita akan lebih mudah mengenal pasti sesebuah skim penipuan.

Pengasas-pengasas SCK akan menggunakan perkataan-perkataan yang menarik perhatian seperti affiliate marketing, hibah, Tijari, Islamic Fund, dinar, bitcoin, forex, dan lain-lain untuk mengaburi mata kita.

malaysia mlm scam

Modus Operandi Pembinaan Skim Cepat Kaya

Fasa Pertama – Bina Kepercayaan

Bos SCK mempunyai modal tunai sebanyak RM100,000. Dia buka satu syarikat/skim yang ada menawarkan tiga pakej pelaburan kepada orang ramai:

  • Gold – RM400
  • Platinum – RM4,000
  • Diamond – RM22,000

Untuk fasa awal bukan mudah untuk menarik pelabur. Fasa pertama ini berdasarkan strategi untuk mendapat kepercayaan pelabur atau menjadi ‘trusted’. Pada permulaan orang ramai pasti ragu-ragu dan takut ditipu, walaupun ramai masih nak tahu.

Kebanyakan orang yang suka mencuba akan masuk pakej yang paling minima iaitu Gold – RM400.

Pakej Gold ini dijanjikan akan dibayar RM100 sebulan selama 3 bulan, dan pelaburan ini akan matang pada bulan ke-4, dan mereka mempunyai pilihan untuk mendapat RM800 (keuntungan) dan pakej akan segera ditamatkan.

Paling mudah Bos SCK boleh pergi cari budak-budak baru di universiti yang ghairah nak kaya cepat dan tak pernah merasa susahnya nak cari duit sendiri. Kalau lebur pun RM400 ni duit mak bapak kan?

Groom Them
Bos SCK ni juga akan groom dan hias peserta-peserta terutamanya budak-budak sekolah, budak universiti atau lepasan universiti yang belum dapat kerja. Mereka ini diberi pakai kereta mewah, ditempahkan suit, dan diberi makan di tempat mahal. Ini semua adalah untuk menarik perhatian dan minat serta trust orang ramai.

Celeb Sells
Ini juga masa untuk menggunakan nama -nama VVIP, orang kenamaan negara, dan selebriti untuk menarik perhatian.

Jadi, kalau 1000 orang masuk, jumlah terkumpul yang Bos SCK dapat adalah sebanyak RM400,000. Duit ini cukup digunakan untuk membayar habuan bulanan pelabur selama 4 bulan. Duit modal Bos SCK RM100,000 digunakan untuk membayar sebahagian kecil mereka yang stop pada bulan ke 4. Kalau 100 orang stop Bos SCK kena keluar RM800 x 100 = RM80,000. Apa hal keluar sikit modal dia, janji dia dapatkan kepercayaan (trust) mereka. Tengok nanti bagaimana dia ‘makan’ duit pelabur balik.

Fasa Kedua – Dah Percaya, Ajak Orang Lain Pula

Psikologi dan emosi dimainkan waktu ini di mana pelabur akan menjadi tamak sebab dengan hanya menunggu lagi 5 bulan mereka akan mendapat RM3600 disamping RM100 bulanan. Kebanyakan mereka tidak akan berhenti pada bulan ke 4 tersebut kerana mereka menanti habuan yang lebih lumayan di hadapan. Maka mereka mengambil pilihan untuk meneruskan terima habuan bulanan RM100.

Pada bulan keempat tersebut pelabur-pelabur sudah percaya dan rasa ‘trusted’ dengan dana tersebut disamping sebahagian kecil yang stop dan dapat RM800 tersebut menjadi bukti kononnya skim itu adalah sangat-sangat ‘trusted’.

Waktu ini kepercayaan terhadap skim ini akan menebal. Maka berbondong-bondonglah diajak keluarga, rakan office, sahabat handai, orang kampung melabur bersama kerana taksub dengan keyakinan tersebut. Diajak joint venture, kumpul modal ramai-ramai dan melabur.

Fasa Ketiga – Naiktaraf (Upgrade)

Ringkasnya, 1000 oang pertama yang masuk tadi yang sangat yakin dan dipukau dengan ‘Trusted Scheme’ dan terus upgrade kepada pakej lebih tinggi Diamond RM22,000. Duit tu mungkin dapat melalui:

  • pinjam dari orang tua atau mertua
  • simpanan oleh keluarga
  • simpanan hari tua
  • pinjam Along
  • pinjam Bank
  • joint venture
  • kumpul duit orang
  • jual harta pusaka
  • dan sebagainya

RM22,000 x 1000 = RM22 juta

Senangnya Bos SCK nak dapatkan RM22,000,000 (RM22 juta) dengan hanya membayar nilai lakonan ‘Trusted’.

Galakan Meminjam
Dalam fasa ini Bos SCK bersama dengan leaders dan uplines akan “membantu” (lebih kepada memaksa) anda membuat pinjaman bank semaksima yang mungkin dengan gaji atau pendapatan anda. Malah mereka begitu bersungguh sungguh untuk mendapatkan pinjaman berkenaan untuk anda, dengan menyediakan segala dokumen termasuk orang dalam Bank atau Koperasi.

Rasulullah SAW juga kerap mengajar umat islam agar berdoa dilepaskan dari hutang :

اللهم إني أعوذبك من المأثم والمغرم ( الدين ) , فقيل له : إنك تستعذ من المغرم كثيراً يا رسول الله ؟ فقال : ” إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد فأخلف”

Ertinya : Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah? ; Baginda menjawab : “Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari” ( Riwayat Al-Bukhari, 1/214 )

Bila dah masuk fasa ini, kerja Bos SCK menjadi lebih mudah. Dia akan hanya perlu bergantung pada leaders and top-tier uplines untuk merekrut ahli-ahli baru.

Leaders ini pula dah boleh bergambar sambil berbaring atas kereta mahal, dan tayang duit berkepuk-kepuk.

Jika ada pihak yang menggalakkan kita berhutang, fikir-fikirkanlah… kerana terdapat dalam sebuah hadith:

Ertinya : Ya Allah, aku berlindung dari kekufuran dan hutang, Mendengar itu seseorang bertanya, ” Apakah engkau menyamakan kekeufuran dengan hutang wahai Rasulullah ? ; “Benar” Jawab Rasulullah” (Riwayat An-Nasaie, 2/316; Ahmad, 3/38)

Fasa Keempat – Cerita Sedih

Bila dah sangat ramai masuk skim piramid ini, akan tiba masanya di mana tiada lagi orang nak masuk sebab semua orang yang boleh kena tipu sudah ditipu. Akhirnya piramid akan tumbang… kerana tiada lagi orang baru boleh direkrut.

Barisan terakhir pelabur akan terus menunggu bayaran mereka yang tidak kunjung tiba.

Ada yang mula buat laporan polis. Laporan ke BNM. Laporan ke SKMM. Laporan ke KPDNKK dan segala macam laporan lagi yang sepatutnya telah dibuat awal-awal lagi.

Masa ni Bos SCK akan isytihar macam-macam kepada pelabur-pelabur. Paling mudah, kena rompak, kena tipu atau pecah amanah (tuduh sesiapa dalam syarikat dan jadikan kambing hitam).

Bos SCK akan kata tak mampu pulangkan modal pelaburan tersebut kepada pelabur-pelabur. Untuk meredakan amarah pelabur, dia minta tempoh enam bulan untuk selesaikan (recovery). Cukup enam bulan dia minta sambung lagi (extend) lagi enam bulan. Enam bulan jadi setahun. Setahun jadi bertahun-tahun.

Lama-lama pelabur putus harapan dan pasrah duit mereka telah hangus (di sini Bos SCK akan mainkan sentimen agama seperti rezeki itu Allah yang tentukan).

Pelabur-pelabur akan lupa tentang duit mereka hari demi hari.

Salahkan Bank Negara, Polis dan Kerajaan
Seterusnya sebagai penutup cerita dan sinetron, Bos SCK boleh tuduh pula kerajaan melalui Bank Negara rampas semua wang dan aset syarikat. Akaun bank pula kena beku.

Dah biasa dengar pengakhiran macam ini?

Sad ending.

Sekarang Bos SCK dah kaya-raya dan pelabur-pelabur berputih mata.

Bagi bos-bos SCK yang tegar, mereka akan mula semula kitaran dari Fasa Satu di atas. Guna nama lain. Tukar sana sikit, ubah situ sikit.

Kenapa? Sebab ada ramai yang macam kita yang akan terpedaya, kadang-kadang bukan hanya sekali, tetapi berkali-kali.

Jika anda rasa penulisan ini memberi kesedaran dan manfaat kepada anda, wajiblah di “kongsikan” bersama orang lain agar ianya tersebar luas dan kita semua mendapat manfaat bersama.

Teruskan usaha untuk menambah ilmu tentang money game, skim piramid dan skim ponzi supaya kita tidak mudah tertipu lagi walau apa pun nama dan strategi penipuannya di masa akan datang.