Kuala Lumpur: Kreativiti pelajar tahun dua Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan Universiti Putra Malaysia (UPM) kampus Bintulu, Sarawak, menggunakan reka bentuk payung untuk menghantar Peraduan Mudah Menang Harian Metro (HM) Siri 1 minggu kedua memberi tuah kepadanya apabila dipilih sebagai pemenang penyertaan paling kreatif.

Menggunakan slogan memayungi negara dengan isu semasa membolehkan Khazrina Khanafiah, 21, menerima wang tunai RM1,000.

Hairi Nani, 41, dari Johor Bahru pula mendapat empat tiket ke Legoland bernilai RM900.

Enam pemenang lain, masing-masing menerima wang tunai RM500 ialah Yusli Romlan, 49, dari Selangor, Nurhafeza Latif, 39, (Perlis), Darus Naim Ab Hamid, 47, (Pahang), Noraini Mat Akil, 60, (Pahang), Rosnani Mohamed Yin, 49, (Johor) dan Siti Juliana Jamil, 44, (Perak).

Pemilihan pemenang dilakukan Pengarang Bersekutu (Rencana) HM Husain Jahit, semalam.

Khazrina berkata, ilham menggunakan konsep payung tercetus selepas mendapat idea slogan itu yang satu daripada perkataannya berkaitan dengan objek berkenaan.

“Saya sertai peraduan ini sekadar mengisi masa lapang di rumah dan tidak menyangka boleh menang.

“Ini kali pertama dan tidak pernah menyertai mana-mana peraduan sebelum ini,” katanya.

Katanya, wang itu digunakan bagi menampung pengajian memandangkan dia ketika ini menjalani latihan amali di Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPAC) di Ampang.

Khazrina berkata, dia terkejut apabila menerima panggilan daripada HM memaklumkan kemenangan itu dan ia di luar jangkaan.

Sementara itu Husain berkata, penganjur menerima 3,000 penyertaan peraduan bagi minggu kedua ini yang diadakan sempena meraikan ulang tahun ke-25 HM.

“Peserta yang tidak berjaya diminta tidak berputus asa dan boleh mencubanya kerana ada empat pusingan lagi.

“Peraduan ini cara HM mendekati pembaca setianya yang terus memberi sokongan sehingga kekal sebagai akhbar bahasa Melayu nombor satu negara,” katanya.

Artikel ini telah disiarkan di Harian Metro pada Jumaat, 20 Mei 2016
Sumber asal: http://www.hmetro.com.my/node/139189