Nota Admin Peraduan.com:
Elakkan peraduan-peraduan yang ada unsur penipuan. Kita tidak akan menang. Yang menang hanya penganjur.

Oleh AHMAD NAZRI MOHAMAD, FUAD HADINATA YAACOB, ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan AHMAD RABIUL ZULKIFLI
[email protected]

KUALA LUMPUR: Selepas Ogos bulan apa? Ayam ada berapa kaki? Inilah contoh soalan mudah dalam program kuiz interaktif di televisyen yang menarik penyertaan ribuan atau mungkin jutaan penonton sehari sebelum kebanyakan mereka kemudian berasa tertipu serta kerugian wang tunai, masa dan tenaga.

Rasa tidak puas hati peserta terbukti apabila Pengarah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Darshan Singh, mengesahkan pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai kuiz SMS itu.

Malah, ruangan iM Lapor di Harian Metro turut menerima ratusan SMS pembaca yang tidak puas hati dengan cara pengendalian kuiz itu yang mereka percaya tidak telus dan berunsur penipuan.

Darshan berkata, pihaknya menyifatkan masalah itu serius dan perlu segera ditangani kerana pengendali kuiz mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan caj dikenakan.

Mereka tidak melakukan audit pada kuiz dianjurkan, menyebabkan wujud unsur penipuan, katanya.

Antara program kuiz interaktif yang tersiar di televisyen hampir setiap hari ialah Fulus Mania di saluran Astro RIA, Celebmania, Insomnia dan Teka-teki (TV3) dan Play 2 Win (TV8).

Untuk menyertai kuiz, peserta perlu hantar jawapan kepada soalan dengan mengirim SMS bagi pengguna telefon bimbit atau membuat panggilan dan memberi jawapan secara lisan untuk pengguna telefon talian tetap.

Secara purata, setiap penyertaan dikenakan caj kira-kira RM3, manakala hadiah ditawarkan pula ialah wang tunai antara RM200 hingga RM130,000, telefon bimbit atau peralatan elektronik.

Bagaimanapun, beberapa peserta kuiz mendakwa mereka rugi besar. Ini kerana, biarpun soalannya mudah, sukar untuk memenanginya disebabkan wujud syarat atau peraturan tersembunyi.

Abu Bakar Abdullah, 42, dari Kampung Bukit Besar, Kuala Terengganu, berkata terpengaruh dengan soalan mudah dan hadiah lumayan ditawarkan satu kuiz interaktif, anaknya berusia 10 tahun mengambil bahagian tanpa pengetahuannya sehingga dikenakan caj penyertaan melalui talian telefon RM500.

Saya terkejut kerana setiap panggilan dikenakan caj RM3 walaupun tempoh panggilan tidak sampai seminit. Ketika memperoleh bil pertama RM200, saya menasihati anak saya supaya berhenti menghubungi program itu.

Namun, memandangkan rancangan itu disiarkan pada waktu saya dan isteri ke surau, anak mengambil kesempatan menggunakan talian tetap di rumah untuk mengambil bahagian. Akibatnya, bulan berikutnya saya menerima satu lagi bil dengan caj RM300,katanya

Abu Bakar mengakui program itu ada memberi peringatan kepada kanak-kanak bawah umur supaya meminta keizinan ibu bapa terlebih dulu sebelum menyertainya.

Namun, katanya, sikap kanak-kanak yang nakal membuatkan mereka bertindak mengikut perasaan tanpa mengetahui akibat yang ditanggung ibu bapa dan meneruskan keinginan menjawab soalan.

Saya harap kerajaan kaji semula program berbentuk kuiz itu kerana lebih banyak memberi kesan buruk kepada masyarakat,katanya.

Abu Bakar berkata, taktik penerbit program itu yang memberi soalan mudah untuk dijawab juga berjaya mempengaruhi orang ramai sehingga sanggup melabur tinggi tanpa disedari.

Soalan tidak masuk akal dan mudah dijawab itu membuatkan kanak-kanak teruja untuk mencuba nasib, walaupun gagal menjadi peserta ke-50 atau ke-100 seperti dikehendaki untuk menang.

Sebaliknya, yang menanggung sengsara ialah ibu bapa apabila dikenakan caj melampau dan tidak masuk akal,katanya.

Abu Bakar menyifatkan konsep dipaparkan program itu menjurus kepada perjudian, tidak menguji minda dan jauh sekali menambah pengetahuan dan ilmu kerana soalan dikemukakan boleh dikategorikan soalan bodoh.”

Ibrahim Mat Yaakob, 25 dari Kajang, Selangor, pula berkata sebelum ini dia meminati satu kuiz interaktif dan kerap menyertainya, namun akhirnya menyedari program itu sebenarnya hanya merugikan serta memerangkap penonton.

Setiap hari saya tertunggu-tunggu program ini ke udara, sama ada pagi, petang atau malam, manalah tahu mungkin boleh menang dan jadi jutawan.

Namun, selepas berpuluh kali mencuba dan lebih RM200 wang habis untuk beli kad tambah nilai, saya kecewa kerana satu pun tidak berjaya, sedangkan soalannya sangat mudah,katanya.

Ditanya mengenai soalan yang dikemukakan, Ibrahim berkata, ia tidak memerlukan kepakaran, sebaliknya terlalu mudah dimenangi seperti meneka wajah artis yang senang dikenali atau memberi soalan seperti, ‘Selepas Ogos bulan apa?’ atau ‘Ayam ada berapa kaki?’

Mengenai kerugiannya, Ibrahim berkata, jumlah paling tinggi untuk satu episod program itu ialah RM56 apabila dia menghantar hampir 20 khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk menjawab soalan.

Sepanjang menyertai program itu sejak tahun lalu, saya tidak pernah nampak ada peserta menerima hadiah seperti dijanjikan, malah puluhan kali saya menyertai, tiada satu pun berjaya meskipun soalan sangat mudah,katanya.

Menurutnya, bukan tiada pemenang seperti dijanjikan, tetapi penerbit hanya menghubungi mereka melalui telefon dan memberitahu mereka memenangi hadiah wang tunai serta pakej percutian.

Memang mereka hubungi peserta yang menang tetapi sudah banyak kali saya sertai, hadiah paling tinggi mereka umumkan yang dimenangi peserta ialah RM50,000 bersama pakej lain.

Namun sebenarnya, hadiah atau jumlah paling tinggi wang tunai yang saya lihat mencecah RM130,000 tetapi tiada siapa memenanginya, mungkin ia hanya helah dan tidak mustahil peserta yang menang dirancang terlebih dulu,katanya.

Sehubungan itu, dia meminta pihak berkuasa menyiasat sama ada program itu dikendalikan secara telus atau hanya penipuan semata-mata.

Peserta lain yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 32, dari Perlis, berkata dia kerugian kira-kira RM200 untuk menyertai program seperti itu dengan setiap satu SMS dikenakan bayaran RM3.

Saya SMS banyak kali ketika program ke udara, namun kecewa apabila tidak satupun berjaya. Lebih geram, mereka hendak peserta ke-50, saya SMS dan diberitahu ‘anda peserta ke 28.’ Bila SMS sekali lagi jawapannya, ‘anda peserta ke 25’, sepatutnya meningkat bukannya turun,katanya.

Man turut sangsi dengan peraduan teka wajah artis kerana meskipun 90 peratus wajahnya jelas, penerbit sukar mencari pemenang.

Zulhazmi Othman, 37, dari Subang, Selangor, berkata kuiz interaktif mirip dengan penipuan kerana tiada ketelusan pemenang yang mendapat hadiah dan pemanggil yang menang tidak didedahkan identitinya.

Ada kalanya bila saya hubungi, saya dimaklumkan pemenang ke-100 sudah ada tetapi di TV tidak diisytiharkan juga sehingga beberapa lama,katanya.

Amin, 21, dari Manjoi, Ipoh, Perak, yang menyertai program berkenaan menggunakan SMS dan talian tetap mendakwa, ketika memberi jawapan betul ke atas soalan atau wajah yang dikemukakan, taliannya terus disekat.

Dia yang kali terakhir menyertai program itu minggu lalu berkata, lebih RM100 dihabiskan untuk program itu tetapi tidak berjaya.

==================================

Sumber: Harian metro online.