Guna hadiah PR1M‎ untuk sambut Ramadan

NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN
8 JUN 2015

MUAR – Pemenang peraduan Peraduan Rakyat 1Malaysia (PR1M) bagi siri 20 Mei 2015, menganggap hadiah kemenangan RM1,000 diterimanya itu sebagai rezeki Ramadan yang akan disambut kurang dua minggu lagi.

Mohamad Bakar@Embung, 64, berkata, wang tersebut akan digunakan untuk menampung perbelanjaan keperluan harian sepanjang bulan Ramadan, juga membeli barangan keperluan Aidilfitri termasuk kelengkapan pakaian empat cucunya.

Mohamad menunjukkan wang RM1,000, hadiah kemenangan peraduan PR1M siri 20 Mei 2015.

Mohamad menunjukkan wang RM1,000, hadiah kemenangan peraduan PR1M siri 20 Mei 2015. Photo kredit: Sinar Harian

“Saya tidak sangka akan dipilih sebagai pemenang dan merasakan seperti mimpi semasa menerima dua panggilan telefon daripada Sinar Harian yang memaklumkan kemenangan dan untuk penghantaran hadiah.

“Namun, saya bersyukur dengan rezeki ini dan anggap diri ini agak bertuah kerana terpilih dalam kalangan ramai peserta lain,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Bakri Mulia, Batu 6 Bakri di sini, semalam.

Pesara kakitangan kerajaan itu berkata, kemenangan tersebut turut membulatkan tekadnya untuk kekal menjadi pembaca setia akhbar tersebut dan penyertaannya dalam peraduan itu juga masih diteruskan oleh ahli keluarganya yang lain.

Katanya, isterinya, Jaliah Othman, 56, banyak membantunya terutamanya dalam mencari jawapan soalan. Setiap hari, dia dan isterinya akan berbincang mengenai jawapan untuk mendapatkan jawapan yang tepat.

“Selain hobi membaca akhbar, saya juga gemar masuk peraduan terbitan mana-mana akhbar, ia sekadar mencuba nasib dan peraduan PR1M adalah kemenangan pertama.

“Akhbar ini walaupun nipis tapi isi kandungannya padat dengan pelbagai berita yang menarik sama ada dalam atau luar negara, namun bertambah menarik dengan adanya pertandingan ini,” katanya yang tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada akhbar ini.

Menurutnya, setiap kali membaca kisah pemenang sebelum ini, dia sangat teruja memasuki peraduan itu dan sanggup berulang-alik ke Pejabat Pos berhampiran setiap hari, semata-mata untuk menghantar peraduan.

Katanya, diharapkan Sinar Harian akan dapat meneruskan peraduan seperti ini kerana ia sebahagian daripada cara menghargai pembaca setia akhbar tersebut.

Sumber asal: http://www.sinarharian.com.my/nasional/guna-hadiah-pr1m-untuk-sambut-ramadan-1.398811