Nota Admin Peraduan.com:
Elakkan daripada menyertai peraduan-peraduan yang berbentuk perjudian.

Harian Metro – Oleh Saipul Adli Mohamad

KUALA LUMPUR: Walaupun beberapa pihak mempertahankan bahawa peraduan “menguji minda” yang disiarkan stesen televisyen tertentu pada awal pagi, tidak mempunyai unsur perjudian, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria,(gambar) tetap menegaskan ia adalah judi.

Harussani berkata, sebarang pertandingan membabitkan bayaran tertentu dan menyediakan wang ganjaran, adalah judi dan haram di sisi Islam.

“Kalau kena bayar, ia ditakrif sebagai judi. Caj RM2 untuk setiap panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) menjadi kos yang perlu dibayar dan itu adalah judi. Kalau tiada hadiah, tidak mungkin orang akan membayar untuk masuk peraduan itu.

Mereka (pihak tertentu) faham atau tidak takrif judi? Kalau tidak tahu, tanya… jangan main-main. Lagipun perkara ini sudah difatwakan Majlis Fatwa Kebangsaan, pertengahan tahun lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut pula enggan mengulas kerana menganggap penjelasannya mengenai isu itu baru-baru ini, sudah memadai.

Kelmarin, Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainudin Maidin mempertahankan program permainan interaktif ‘Hello Minda’ di TV1 sebagai program uji minda dan tidak mempunyai unsur perjudian.

Beliau berkata, rancangan yang disiarkan mulai 15 November itu menguji kecekapan penonton menjawab beberapa soalan meliputi bidang matematik, politik, kebudayaan dan ekonomi tempatan dan antarabangsa.

Katanya, rungutan hanya timbul daripada penonton yang tidak memahami peraturan dan mekanisma peraduan berkenaan.

“Ia bukanlah rancangan berbentuk perjudian tetapi menguji minda. Saya tak nampak dari segi mana yang ada perjudian. Rancangan itu ditayangkan lewat malam dan ada yang kata kita galakkan remaja tidur lewat dan berjudi, adalah tidak betul, ia lebih kepada rancangan menguji minda mengenai pengetahuan am,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Abdul Rahman Hamid, berkata “Helo Minda” diterbitkan syarikat swasta dan mengikut prosedur Radio Televisyen Malaysia (RTM), ia ditapis Jawatankuasa Penilaian dan Kawalan Kualiti (QC) sebelum disiarkan.

“Mengikut prosedur, program syarikat swasta dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian dan kita terima dalam bentuk proposal (cadangan), bukannya rakaman siap. Kemudian, QC akan mengkaji dari aspek teknikal dan kesesuaian ia ditayangkan atau sebaliknya. Proses tapisan berjalan mengikut kaedah kerja kita.

“Setiap rancangan disiarkan RTM ada garis panduan tertentu, tidak kira ‘inhouse’, swasta atau luar negara. Garis panduan ini fleksibel dan berubah mengikut keadaan kerana teknologi penyiaran berubah dengan cepat,” katanya.

Beliau berkata, apabila peraduan dimulakan, ramai pemanggil akan membuat panggilan telefon dan perlu ada kaedah kawalan atau sistem tersendiri untuk memilih pemanggil bertuah yang dapat bercakap dengan hos, seterusnya cuba menjawab soalan berkenaan.

“Ini bukan panggilan telefon ke rumah, sebaliknya terbuka kepada umum dan ramai pasti mencuba. Tetapi untuk masuk siaran, hanya satu panggilan dalam satu masa dan sistem kita akan menentukan pemanggil bertuah itu.

Jadi, saya tidak fikir program Helo Minda ini ada unsur judi kerana jika ada, sudah tentu ia tidak melepasi tapisan dan disiarkan. Lagipun, ada kos di pihak kita kerana kita perlu bayar kepada syarikat tertentu untuk guna kaedah dan syarikat perkhidmatan yang menyediakan program,” katanya.

Beliau berkata, jika program yang diterima daripada syarikat swasta berkaitan dengan unsur agama, RTM akan menghantar kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mendapat nasihat dan kelulusan.

Abdul Rahman berkata, sebahagian besar program agama disiarkan RTM ketika ini dibekalkan Jakim sendiri dan program kuiz, termasuk `Helo Minda’ tidak dirujuk kepada Jakim kerana tiada unsur agama.

Menurutnya, dari segi proposal program, RTM mengutamakan syarikat swasta yang memiliki `jam siaran’ dengan RTM dan sehingga kini, ada 160 syarikat ada `jam siaran” dan 400 syarikat berdaftar.

Pertengahan tahun lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan peraduan berbayar menerusi SMS sebagai haram di sisi Islam kerana mempunyai unsur perjudian.

Bagaimanapun, peraduan seumpama itu masih terus disiarkan di beberapa stesen televisyen tempatan, kebelakangan ini.

Peraduan menguji minda yang disiarkan pada awal pagi itu memerlukan penonton melengkapkan perkataan atau meneka gambar rajah dengan menghantar SMS atau membuat panggilan telefon pada talian yang tertera di kaca televisyen.

Pemenang akan menerima hadiah wang tunai RM300 dan RM500 serta berpeluang mendapat wang tambahan sekiranya mampu menjawab soalan bonus, yang menawarkan hadiah RM10,000 bagi lima soalan.

Bantuan pembayang yang diberikan hos rancangan itu serta soalan yang agak senang mendorong ramai penonton terutama yang berjaga hingga awal pagi menyertai peraduan itu menerusi SMS dengan caj RM2 setiap SMS.

Bagi panggilan telefon pula, pemanggil disyaratkan berusia 18 tahun ke atas dan setiap panggilan dicaj RM2, tidak kira sama ada mereka berjaya bercakap dengan hos acara itu atau sebaliknya. Amat jelas, peluang bercakap dengan hos bergantung kepada nasib kerana penganjur memiliki sistem sendiri untuk membolehkan suara pemanggil ke udara.

Sumber: http://www.emedia.com.my/Current_News/HM/Thursday/BeritaUtama/20051208081927/Article/pp_index_html