KUALA LUMPUR: "Duit yang dimenangi ini akan saya gunakan untuk masa depan
anak tunggal saya, Lokman Aqwa, 5, kerana itu adalah rezekinya," kata
Mohamad Hatta Ramli, 38, petani dari Sungai Besar, Selangor yang
memenangi tempat pertama Peraduan Cari Benda Tersembunyi Berita Harian
Siri 2.

Kemenangan Mohamad Hatta pembaca setia Berita Harian selama lebih 20
tahun diumumkan pada majlis penyampaian hadiah peraduan itu di Balai
Berita The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di sini, semalam.

Beliau yang memenangi hadiah RM10,000 hadir bersama isteri, Habsah
Said, 28, dan anaknya, berkata beliau hanya menghantar satu borang
penyertaan dengan slogan `Olahan Bahasa Menerokai Minda'.

"Sewaktu mendapat panggilan memberitahu saya mendapat hadiah pertama,
saya terkejut dan tergamam kerana sebelum ini saya biasa menyertai
pertandingan yang dianjurkan Berita Harian tapi hanya dapat hadiah sagu
hati.

"Kemenangan ini akan menjadi dorongan untuk saya menyertai lain-lain
pertandingan yang dianjurkan Berita Harian. Sekarang saya sedang
mengumpul borang untuk menyertai peraduan Anugerah Bintang Popular,"
katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Tempat kedua yang menawarkan hadiah RM5,000 dimenangi Siti Aishah Abdul
Rahman, 45, dari Mersing, Johor yang menyifatkan kemenangannya istimewa
kerana sudah ramai ahli keluarganya yang berjaya memenangi hadiah utama
dalam pertandingan yang dianjurkan Berita Harian.

"Sebenarnya ayah saya banyak mendorong kami membaca Berita Harian sejak
tahun 1959 dan menyertai segala pertandingan yang dianjurkan. Malahan
ramai saudara terdekat saya berjaya memenangi hadiah utama seperti kereta
apabila menyertai pertandingan itu.

"Peraduan ini dapat mengisi masa lapang dan mengeratkan kemesraan
sesama ahli keluarga memandangkan anak-anak juga dapat membantu mencari
benda yang tersembunyi," katanya.

Pemenang tempat ketiga, Ishak Ismail dari Klang, Selangor yang diwakili
seorang anggota keluarganya menerima RM3,000.

Hadiah tempat pertama RM10,000 bagi siri ketiga pula dimenangi Aimera
Farhana Samsuddin dari Slim River, Perak dan tempat kedua Abd Halim Abd
Majid dari Ampang, Selangor yang membawa pulang RM5,000, manakala Mohd
Hatta Adon dari Segamat, Johor menerima RM3,000 untuk tempat ketiga.
Hadiah kepada semua pemenang Siri 2 dan 3 itu disampaikan Ketua
Pengarang Berita, Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Azizi Othman.