28/1/2015

SINGAPURA: Anda mahu anak kucing percuma? Mudah sahaja – klik ‘suka’ pada laman Facebook ‘Designer Bengal Singapore’ dan berikan komen mengapa anda layak diberikan kucing.

Catatan di laman Facebook tersebut, yang ditulis awal pagi tadi, sudah diturunkan setelah dikecam orang ramai, yang berpendapat perbuatan memberi kucing sebagai hadiah, adalah tidak sesuai.

“Kami akan berikan anak kucing Bengal kepada seorang pemenang bertuah pada 9 Mei 2015, dan pemenang akan dipilih secara rambang dalam peraduan ini,” menurut catatan tersebut.

Seorang pengguna Facebook memberi komen: “Adakah patut anak kucing diberikan sebagai hadiah dalam peraduan di Facebook?! Adakah ini dibenarkan dari segi undang-undang?”

Encik Alfred Khan, yang menubuhkan laman Facebook tersebut, berkata beliau sudah menurunkan posting itu berikutan komen-komen negatif yang diterima.

SPCA memberitahu MediaCorp persatuan itu menolak keras perbuatan memberi haiwan hidup – tidak kira jenis haiwan – sebagai hadiah dalam sebarang peraduan.

Pengarah Eksekutif SPCA Singapura, Corinne Fong, berkata perbuatan memberikan anak kucing sebagai hadiah dalam mana-mana peraduan sekalipun, tidak beretika.

Sumber: MediaCorp News, http://berita.mediacorp.sg/mobilem/singapore/tawaran-beri-kucing/1622040.html