Astro Awani | Diterbitkan pada Mei 20, 2016

SHAH ALAM: Polis Selangor berjaya menumpaskan tiga sindiket penipuan membabitkan pelaburan tukaran mata wang asing (Forex), penipuan kad kredit dan pecah amanah melibatkan kerugian RM10 juta dalam beberapa serbuan sejak 16 Mei dengan 16 suspek berjaya ditahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, ACP Mohd Sakri Ariffin berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang pegawai bank yang pecah amanah bank di sebuah hotel di Cheras pada Isnin lalu.

Suspek berusia 35 tahun itu disyaki menipu 32 pelabur dengan jumlah wang RM5.4 juta sejak tahun 2014.

“Kita dijangka akan menerima lebih banyak laporan dan sesiapa yang menjadi mangsa laman web www.nexusfx.com dan www.mymoorescapital.com tampil kehadapan untuk membantu siasatan”, katanya ketika sidang media di sini.

Suspek ditahan selepas setahun bersembunyi di Chiang Mai, Thailand dan kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, lima suspek berusia 28 hingga 48 tahun ditangkap kerana disyaki dalang sindiket pelaburan Forex dengan kerugian lebih RM5 juta pada Rabu.

Siasatan mendapati sindiket dengan nama Syarikat Real Biz Network itu tidak mempunyai unsur pelaburan Forex.

Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Manakala pada 17 Mei, 10 individu termasuk 4 wanita disyaki keldai dan ejen kad kredit palsu ditahan dalam beberapa tangkapan berasingan di Selangor.

117 keping kad kredit palsu dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 474 Kanun Keseksaan.

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/penipu-forex-kad-kredit-dan-pecah-amanah-ditahan-105886