Oleh ATIKAH DALI dan AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI

KUALA PILAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengesahkan skim cepat kaya YSLM yang diasaskan oleh seorang warganegara China sebagai haram kerana dipercayai telah mengutip RM300 juta daripada orang ramai tanpa mengikut undang-undang.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, pengasasnya, Zhang Jian, 26, mendakwa dia orang terkaya di dunia dan mahu membantu rakyat Malaysia untuk menjadi kaya dengan cepat.

Bagaimanapun siasatan pihaknya mendapati dakwaan syarikat itu tidak benar.

Beliau berkata, lelaki itu datang ke Malaysia awal tahun ini untuk mewujudkan skim penipuan itu.

“Siasatan mendapati skim ini adalah haram kerana ia langsung tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan juga tiada lesen daripada KPDNKK.

“Jadi saya katakan ia syarikat haram kerana bergerak secara tidak teratur dan tidak mengikut undang-undang,” katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri Seri Menanti di Kampung Galau/Mertang di sini malam kelmarin.

Turut hadir, Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hasan Malek merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah.

YSLM mengunakan sistem piramid iaitu seseorang perlu mencari orang bawah bagi membolehkan pelabur menerima separuh daripada pelaburan pertama berjumlah RM300.

Artikel asal: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0711&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm