Kuala Lumpur: “Saya tak percaya ketika saya diberitahu saya memenangi iPhone 6 Plus,” kata Chua Kar Chin, 36, pemenang tempat pertama peraduan mencipta slogan yang dianjurkan Lexis Hotel Group (Lexis) bulan lalu.

Katanya, dia tidak menyangka mendapat tempat pertama kerana slogan yang dicipta itu ringkas.

Dia yang berasal dari Puchong mencipta slogan ‘Think Port Dickson, Think Lexis’ dan dipilih sebagai pemenang pertama selepas menghantar penyertaannya ketika berkunjung ke ruang pameran Lexis di Matta Fair, Mac lalu.

“Saya hantar penyertaan tanpa memikirkan akan menang dan mendapat hadiah itu kerana pada mulanya saya ke pameran itu (Matta Fair) untuk membeli pakej ditawarkan,” katanya ketika ditemui di pejabat Lexis ketika menuntut hadiahnya itu di Menara Milenium, di sini semalam.

Tempat kedua peraduan itu dimenangi, Faisal Sahrom dari Shah Alam yang menyertai peraduan itu selepas membeli promosi Lexis secara atas talian turut memenangi telefon pintar, iPhone 6.

Naib Presiden Jualan dan Pemasarannya Steve Woon berkata, lebih 1,000 penyertaan diterima untuk kedua-dua peraduan itu yang berlangsung selama 10 hari bermula 13 Mac sehingga 23 Mac.

Pemenang diumumkan melalui Facebook rasmi Grand Lexis Port Dickson akhir bulan lalu.

“Pemenang dipilih berdasarkan slogan yang dicipta dan kami lebih tumpukan kepada slogan yang ringkas dan mudah diingati,” katanya selepas menyerahkan hadiah kepada pemenang.

Artikel ini disiarkan pada di Harian Metro: Rabu, 22 April 2015
http://www.hmetro.com.my/node/45501