08 September 2014

SHAH ALAM – ‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’. Itulah pepatah Melayu yang sesuai bagi menggambarkan rasa gembira seorang guru, Mohd. Fauzi Mohd. Nasir, 32, yang membawa pulang sebuah motosikal jenis Modenas hanya kerana menonton Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2014 di pusat beli-belah Space U8 semalam.


Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Noordin Abbas (kiri) dan Irmohizam Ibrahim (tengah) turut meraikan kejayaan Mohd. Fauzi Mohd. Nasir yang memenangi sebuah motosikal Modenas menerusi acara cabutan bertuah di Shah Alam, Selangor semalam.

Motosikal itu diperoleh guru Sekolah Menengah Sri Istana, Klang itu setelah memenangi hadiah utama cabutan bertuah yang diadakan sempena kejohanan itu. Dia menonton kejohanan itu bersama-sama isteri serta seorang anaknya.

Mohd. Fauzi berkata, dia tidak menyangka akan mendapat hadiah motosikal Modenas berkenaan memandangkan banyak acara cabutan bertuah yang beliau sertai sebelum ini tidak berhasil.

“Banyak cabutan bertuah saya masuk, tapi tidak pernah dapat hadiah. Hari ini saya tidak sangka pula dapat hadiah…hadiah utama pula.

“Terima kasih kepada pihak penganjur yang mengadakan acara sampingan di sebalik kejohanan sepak takraw ini,” katanya selepas menerima motosikal tersebut daripada Presiden Majlis Belia Selangor (MBS), Datuk Irmohizam Ibrahim.

Yang hadir sama menyaksikan penyerahan hadiah tersebut ialah Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Sementara itu, Irmohizam ketika ditemui selepas kejohanan itu menegaskan kejohanan yang dianjurkan Kumpulan Utusan dengan sokongan syarikat restoran makanan terkemuka negara, KFC itu merupakan medan terbaik untuk mencungkil bakat-bakat baharu khususnya generasi belia dalam sukan sepak takraw di negara ini.

“Kumpulan Utusan dan KFC telah melakukan usaha yang terbaik dalam memastikan sukan sepak takraw terus berada di persada yang lebih tinggi,” katanya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-motorsikal/guru-menang-cabutan-bertuah-bawa-pulang-motosikal-1.3545